Menarik
Memaparkan catatan dengan label Di Media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Di Media. Papar semua catatan

05 Februari 2010

Pengusaha tapak semaian risau jadi mangsa samun


BANDAR BARU SUNGAI BULOH - Ramai yang tidak menyedari pengusaha tapak semaian di sekitar kawasan ini sering menjadi mangsa samun dan rompak.

Rata-rata perompak menggunakan modus operandi seperti bertanyakan arah jalan, menyamar sebagai polis, berpura-pura mahu membeli bunga dan ada kes perompak berupura-pura menggunakan tandas.

Terdapat juga dalam kalangan perompak yang merompak pada siang hari menggunakan senjata seperti parang untuk menakutkan pengusaha dan pekerja mereka.

Sehingga kini kira-kira 20 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes rompakan sekitar kawasan Jalan Subang, kawasan Kusta Sungai Buloh dan Bukit Rahman Putra.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed bagaimana berkata, pihak polis sering menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana pengusaha yang menjadi mangsa rompakan enggan bekerjasama dengan polis termasuklah menyembunyikan kejadian tersebut.

“Kita melihat masalah jenayah melibatkan pengusaha tapak semaian bunga serius tetapi ramai di antara mereka tidak melaporkan kepada pihak polis dan kita memohon kerjasama daripada mereka melaporkan maklumat yang tepat untuk memudahkan proses penangkapan penjenayah yang terlibat.

“Saya difahamkan seramai 15 pengusaha tapak semaian bunga di Jalan Subang sering menjadi mangsa jenayah seperti disamun dan dirompak namun kebanyakan mereka tidak melaporkan kepada pihak polis yang menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan,” katanya.

Arjunaidi berkata demikian semasa menghadiri sesi dialog bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda MCA Bahagian Subang di Bilik Gerakan MCA Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Salah seorang pengusaha wanita tapak semaian bunga di Jalan Subang yang enggan dikenali berkata, pada tahun lalu dia telah dirompak sebanyak empat kali dan diperdayakan oleh penjenayah dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Penjenayah tersebut memaklumkan kepada pekerja saya bahawa dia adalah anggota polis dan memeriksa serta bertanyakan permit kepada mereka namun setelah ditunjuk, pekerja saya telah dirompak..

“Kes yang kedua pula ialah penjenayah itu menaiki teksi dan merompak hasil jualan menyebabkan kami cukup bimbang dengan keselamatan apabila berniaga di sini kerana penjenayah sangat licik dan menggunakan pelbagai cara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Polis Dearah Gombak, Suprintendan Rosli Hassan berkata, pihak polis sentiasa mengambil berat terhadap penduduk dengan mengadakan pelbagai usaha seperti konsep turun padang serta memperbanyakkan jumlah kereta peronda di beberapa zon.

“Pihak polis daerah Gombak turun padang untuk berjumpa dengan wakil persatuan penduduk, wakil masjid dan surau kerana pihak polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama penduduk bersama polis.

Mengulas mengenai kegiatan jenayah melibatkan penguasaha tapak semaian bunga, Rosli berkata kes tersebut melibatkan penjenayah yang sama kerana kebanyakan laporan yang diterima daripada mangsa menyatakan bentuk muka penjenayah adalah sama.

Katanya, pihak polis telah berjaya menahan empat penjenayah pada 16 Januari lalu dan kini disoal siasat dan hasil soal siasat yang dilakukan, pihak polis dimaklumkan mereka telah melakukan rompakan di 24 tempat dengan menggunakan senjata dan menunggang motosikal.

“Sekiranya menjadi mangsa jenayah, segera hubungi polis dan tampil ke hadapan serta membuat laporan kepada pihak polis untuk membantu polis memberkas penjenayah dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, kawasan Kusta Sungai Buloh adalah kawasan yang kerap berlaku kes jenayah dan pihak polis berharap kerjasama penguasaha tapak semaian bunga dengan mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama-sama polis.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama di antara satu sama lain untuk membasmi jenayah.

“Jenayah perlu diperangi dan aspek keselamatan perlu dititik beratkan supaya penduduk tidak menjadi mangsa jenayah dan sekiranya jenayah berlaku, segera laporkan kepada pihak polis.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada pengusaha tapak semaian bunga supaya mementingkan aspek kebersihan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk sekaligus menghindarkan demam serta penyakit lain,” katanya.

Bagi Ketua Wanita MCA Bahagian Subang, Ling Siow Moy berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk membantu hampir 150 pengusaha tapak semaian bunga supaya dapat mencari jalan penyelesaian sekiranya menjadi mangsa jenayah.

“Masalah jenayah merupakan masalah kritikal melibatkan pengusaha tapak semaian bunga dan diharapkan dengan sesi dialog yang diadakan mereka mendapat pelbagai manfaat.

“Ia juga menunjukkan MCA amat mengambil berat terhadap keselamatan mereka,” katanya. - SINAR HARIAN (31 Januari 2010)
baca lagi...

28 Januari 2010

Roboh dewan: Kelas al-Quran kena tempias


KOTA DAMANSARA – Tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan dewan orang ramai di Flat Gugusan Melati dekat sini, bukan hanya memberi kesan kepada golongan dewasa, namun tempiasnya juga turut dirasai puluhan kanak-kanak yang menjadi dewan itu tempat untuk mengaji al-Quran.

“Sekarang hendak mengaji Al-Quran dah susah,” demikian keluhan Amir Shah ,15, antara puluhan murid kelas mengaji yang kini terpaksa menerima hakikat kehilangan dewan tempat mereka menuntut ilmu selama ini .

Amir yang sudah tiga tahun belajar mengaji di dewan yang dirobohkan itu beranggapan dia kini seperti hilang semangat untuk belajar mengaji.

“Empat adik saya semuanya belajar mengaji di sini, jadi bila tidak ada dewan ini rasanya terpaksalah kami belajar mengaji di rumah ustazah, mungkin selepas ini tidak bolehlah kami belajar mengaji ramai-ramai seperti ini,”katanya.

Berkongsi kesedihan sama, Mohd Arshad Thaqif, 13, yang terkejut apabila diberitahu dewan itu sudah dirobohkan kelmarin.

“Saya hendak pergi mengaji seperti biasa, tiba-tiba tengok dewan sudah kena roboh, jadi saya baliklah ke rumah dengan perasan hampa.

“Saya sudah mengaji Al-Quran sampai juzuk 18, cita-cita saya hendak khatam Al-Quran tahun hadapan, mengaji di sini bagus kerana ustazah ajar kami sampai pandai, lagipun belajar di dewan ini luas dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Nurul Amelina Musanasirrulah, 13, tekad untuk terus belajar mengaji meskipun tanpa dewan .

“Saya akan terus belajar mengaji tetapi sedih bila lihat dewan ini sudah dirobohkan dan harap ada dewan baru dibina seperti ini selepas ini,” katanya.

Kelmarin dewan di bawak blok di Flat Gugusan Melati di sini yang sudah empat tahun dibina diarah roboh oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana dikatakan tidak mempunyai permit pembinaan MBPJ perlu bertimbang rasa

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor, ketika ditemui pada lawatan ke lokasi dewan itu, semalam, berkata MBPJ, pihak berwajib dan individu perlu berfikir secara waras dalam mencari jalan penyelesaian masalah itu.

“Ia adalah tindakan tidak wajar, memang ada notis diberikan sebelum ini, tetapi perkara ini sudah selesai beberapa bulan lepas,” katanya.

Menurut beliau, masalah bukan sahaja berlaku di sini malah beberapa tempat di bawah pihak berkuada tempatan (PBT) lain turut berlaku perebutan dewan.

“Perkara ini perlu jadi ikhtibar kepada semua, banyak perlu dilakukan untuk rakyat.

“Jika beginilah cara Kerajaan Negeri PR Selangor, saya yakin rakyat akan tentukannya pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Subang, Harrison Hassan berkata, amat mendukacitakan apabila Kerajaan Negeri tidak mahu menerima memorandum yang ingin diserahkan kepada penduduk.

“Apa yang berlaku amat mendukacitakan dan saya difahamkan Menteri Besar bercuti jadi memorandum itu boleh diserahkan kepada pembantu tetapi malangnya semua di situ tidak mahu menerima memorandum itu meskipun sudah menunggu dua jam,” katanya. - SINAR HARIAN (27 Januari 2010)
baca lagi...

26 Januari 2010

Pilihan politik adalah keputusan individu


SHAH ALAM – Penglibatan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mana-mana parti politik bergantung kepada pilihan dan keputusan individu itu sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertainya dan semua individu mempunyai hak untuk memilih parti politik yang ingin disertainya.

“Bukan sahaja dalam kalangan NGO, malah seluruh rakyat di negara ini perlu mempunyai kesedaran mengenai politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penglibatan pemimpin-pemimpin NGO dalam parti politik yang seakan menjadi trend masa kini.

Katanya, beliau melihat perkara itu suatu perkembangan positif dan sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran mengenai bidang ini, maka isu-isu seperti tidak mendaftar sebagai pengundi, tidak timbul.

“Saya mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam masyarakat. Pada saya, tidak ada masalah sekiranya NGO berminat untuk melibatkan diri dengan bidang politik asalkan betul niat dan tujuannya,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, apabila anggota NGO mengambil keputusan untuk menceburi politik, mereka perlulah membawa bersama prinsip yang diperjuangkan dalam NGO.

“Jangan pula apabila menyertai parti politik, semua prinsip yang sebelum ini diperjuangkan dalam NGO ditinggalkan. Ia perlu dipertahankan dan diperjuangkan demi hak rakyat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Semenyih, Johan Abdul Aziz berkata, beliau melihat ramai NGO yang berminat dengan bidang politik.

“Sebelum menyertai mana-mana NGO, ada di kalangan mereka yang menyertai parti politik, contohnya umur 18 tahun sudah boleh menyertai UMNO, atau mana-mana parti komponen Barisan Nasional seperti MCA atau MIC.

“Justeru, adalah tidak janggal sekiranya ada yang menceburi politik selepas menyertai NGO, kerana mungkin NGO itu sendiri berasal dari parti-parti politik tertentu. Mereka yang berminat sertai politik, tidak semestinya perlu meninggalkan badan NGO berkenaan. “Sekiranya mereka menyertai sebagai ahli biasa, mungkin tidak timbul masalah, namun mereka perlu bijak menyeimbangkan tugas jika dipilih menjawat jawatan dalam parti politik,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Paya Jaras, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor pula berkata, setiap individu mempunyai kecenderungan untuk memilih laluan masing-masing dalam politik.

“Contohnya tindakan yang dibuat Nazree (bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi-Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus), untuk masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Ezam (Pengasas Gerak, Ezam Mohamad Noor) pula memilih untuk menyertai UMNO,” katanya. - SINAR HARIAN (26 Januari 2010)
baca lagi...

25 Januari 2010

Liga Subang semakin rancak


SUNGAI BULOH - Kejohanan Bola Sepak Liga Subang terus meriah apabila penyokong turut membanjiri padang Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) menyaksikan beberapa perlawanan yang berlangsung Sabtu lalu.

Pemindahan lokasi perlawanan padang Pasar Malam Paya Jaras ke Padang RRI menjadikan suasana perlawanan di sini bertambah meriah dengan kehadiran penyokong pasukan-pasukan bertanding.

Beberapa perlawanan Sabtu lalu menyaksikan Padang Kota FC menundukkan HYFAC 1-0 manakala KD Cops seri menentang Subang Perdana FC 1-1.

Lain-lain perlawanan, Buloh Segar FC menang 2-0 ke atas KGB FC manakala Kelab Bola Sepak Pemuda Subang menewaskan KG FC 1-0.

Dua lagi perlawanan, Ilmar FC menumpaskan Kota Jaya FC 1-0 dan Taman Ehsan FC sekadar seri 1-1 menentang LTAB.

Sementara itu, insiden pergaduhan membabitkan Paya Jaras Barat, minggu lalu, jawatankuasa pertandingan yang diketuai Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamdan Hashim memutuskan pasukan berkenaan digantung dari kejohanan sehingga tamat musim.

Menurutnya, pasukan tersebut didapati bersalah kerana pengurus dan penyokongnya telah memasuki padang tanpa izin pengadil termasuk menyerang pengadil.

Justeru itu, semua perlawanan melibatkan pasukan tersebut dibatalkan.

Selain itu, empat pemain pasukan tersebut turut akan dihadapkan ke lembaga tatatertib kejohanan untuk tindakan selanjutnya. - SINAR HARIAN (25 Januari 2010)
baca lagi...

05 Januari 2010

Najib bersikap terbuka gagasan 1 Malaysia


SHAH ALAM- Pertemuan tidak rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi minum di Parlimen, semalam merupakan perkara biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Ir Muhammad Bushro Mat Johar berkata, pertemuan itu tidak mempunyai sebarang tujuan lain dan lebih kepada mengeratkan hubungan.

“Perdana Menteri sentiasa bersikap terbuka dengan sesiapa sahaja termasuk pihak pembangkang dan bersesuian gagasan 1Malaysia iaitu ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Walau bagaimanapun, kemungkinan akan timbul isu yang mengatakan bahawa Anwar akan masuk UMNO adalah bergantung kepada persepsi masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Bushro berkata, sekiranya Anwar memasuki UMNO itu adalah satu petanda baik untuk politik Negara.

“Saya sangat mengalu-alukan Anwar untuk memasuki UMNO,”katanya. - SINAR HARIAN (9 Disember 2009)
baca lagi...

03 Januari 2010

Konsep 1Malaysia teras perpaduan: Bushro

SHAH ALAM – Tradisi mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh UMNO Bahagian Subang mendapat sambutan luar biasa apabila menerima 10,000 tetamu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan menunjukkan konsep 1Malaysia direalisasikan serta sudah difahami.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkata, konsep 1Malaysia dapat dilihat apabila kehadiran pelbagai bangsa pada program tahunan itu adalah sebagai bukti rakyat menerima gagasan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurutnya, konsep 1Malaysia berjaya direalisasikan apabila kehadiran pelbagai bangsa mengunjungi program anjuran UMNO, sekali gus menunjukkan perpaduan menjadi teras utama kepada keamanan serta kesejahteraan di negara ini.

”Program ini juga menjelaskan kepada kita bahawa pentingnya nilai-nilai perpaduan yang merentasi budaya, agama dan bangsa.

“Alhamdulillah, kita menerima kunjungan tetamu yang ramai melibatkan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) seperti MIC dan MCA ke program ini serta semua lapisan masyarakat walaupun berlainan parti politik,” katanya.

Bushro berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh UMNO Bahagian Subang bertempat di Sekolah Kebangsaan Subang Perdana 3, dekat sini.

Menurut beliau, secara tidak langsung program ini dapat membimbing masyarakat setempat mengenai pentingnya nilai perpaduan dalam menjamin masa depan masyarakat majmuk di sini.

“Persamaan yang harus ditonjolkan ialah semua lapisan masyarakat Malaysia meraikan Syawal dan Aidilfitri dengan penuh keikhlasan, toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain terhadap perbezaan budaya yang melibatkan pelbagai bangsa di negara ini,” katanya.

Bushro berkata, program itu menjadi platform untuk memperkukuhkan jalinan silaturahim dan komunikasi antara kepimpinan UMNO Bahagian Subang dan juga rakyat melibatkan pelbagai bangsa dan agama.

Dalam program itu sebanyak 13 gerai makanan dan minuman akan disediakan untuk pengunjung dengan pelbagai menu dan juadah tradisional serta moden.

”Di samping menikmati hidangan dan menjamu selera, para pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan ghazal terkenal dan pemberian duit raya kepada kanak- kanak yang menghadiri program itu.

”Saya berharap melalui penganjuran program ini akan dapat menyatukan masyarakat dari berbilang bangsa,” katanya. - SINAR HARIAN (29 November 2009)
baca lagi...