Menarik

05 Februari 2010

Pengusaha tapak semaian risau jadi mangsa samun


BANDAR BARU SUNGAI BULOH - Ramai yang tidak menyedari pengusaha tapak semaian di sekitar kawasan ini sering menjadi mangsa samun dan rompak.

Rata-rata perompak menggunakan modus operandi seperti bertanyakan arah jalan, menyamar sebagai polis, berpura-pura mahu membeli bunga dan ada kes perompak berupura-pura menggunakan tandas.

Terdapat juga dalam kalangan perompak yang merompak pada siang hari menggunakan senjata seperti parang untuk menakutkan pengusaha dan pekerja mereka.

Sehingga kini kira-kira 20 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes rompakan sekitar kawasan Jalan Subang, kawasan Kusta Sungai Buloh dan Bukit Rahman Putra.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed bagaimana berkata, pihak polis sering menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana pengusaha yang menjadi mangsa rompakan enggan bekerjasama dengan polis termasuklah menyembunyikan kejadian tersebut.

“Kita melihat masalah jenayah melibatkan pengusaha tapak semaian bunga serius tetapi ramai di antara mereka tidak melaporkan kepada pihak polis dan kita memohon kerjasama daripada mereka melaporkan maklumat yang tepat untuk memudahkan proses penangkapan penjenayah yang terlibat.

“Saya difahamkan seramai 15 pengusaha tapak semaian bunga di Jalan Subang sering menjadi mangsa jenayah seperti disamun dan dirompak namun kebanyakan mereka tidak melaporkan kepada pihak polis yang menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan,” katanya.

Arjunaidi berkata demikian semasa menghadiri sesi dialog bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda MCA Bahagian Subang di Bilik Gerakan MCA Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Salah seorang pengusaha wanita tapak semaian bunga di Jalan Subang yang enggan dikenali berkata, pada tahun lalu dia telah dirompak sebanyak empat kali dan diperdayakan oleh penjenayah dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Penjenayah tersebut memaklumkan kepada pekerja saya bahawa dia adalah anggota polis dan memeriksa serta bertanyakan permit kepada mereka namun setelah ditunjuk, pekerja saya telah dirompak..

“Kes yang kedua pula ialah penjenayah itu menaiki teksi dan merompak hasil jualan menyebabkan kami cukup bimbang dengan keselamatan apabila berniaga di sini kerana penjenayah sangat licik dan menggunakan pelbagai cara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Polis Dearah Gombak, Suprintendan Rosli Hassan berkata, pihak polis sentiasa mengambil berat terhadap penduduk dengan mengadakan pelbagai usaha seperti konsep turun padang serta memperbanyakkan jumlah kereta peronda di beberapa zon.

“Pihak polis daerah Gombak turun padang untuk berjumpa dengan wakil persatuan penduduk, wakil masjid dan surau kerana pihak polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama penduduk bersama polis.

Mengulas mengenai kegiatan jenayah melibatkan penguasaha tapak semaian bunga, Rosli berkata kes tersebut melibatkan penjenayah yang sama kerana kebanyakan laporan yang diterima daripada mangsa menyatakan bentuk muka penjenayah adalah sama.

Katanya, pihak polis telah berjaya menahan empat penjenayah pada 16 Januari lalu dan kini disoal siasat dan hasil soal siasat yang dilakukan, pihak polis dimaklumkan mereka telah melakukan rompakan di 24 tempat dengan menggunakan senjata dan menunggang motosikal.

“Sekiranya menjadi mangsa jenayah, segera hubungi polis dan tampil ke hadapan serta membuat laporan kepada pihak polis untuk membantu polis memberkas penjenayah dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, kawasan Kusta Sungai Buloh adalah kawasan yang kerap berlaku kes jenayah dan pihak polis berharap kerjasama penguasaha tapak semaian bunga dengan mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama-sama polis.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama di antara satu sama lain untuk membasmi jenayah.

“Jenayah perlu diperangi dan aspek keselamatan perlu dititik beratkan supaya penduduk tidak menjadi mangsa jenayah dan sekiranya jenayah berlaku, segera laporkan kepada pihak polis.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada pengusaha tapak semaian bunga supaya mementingkan aspek kebersihan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk sekaligus menghindarkan demam serta penyakit lain,” katanya.

Bagi Ketua Wanita MCA Bahagian Subang, Ling Siow Moy berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk membantu hampir 150 pengusaha tapak semaian bunga supaya dapat mencari jalan penyelesaian sekiranya menjadi mangsa jenayah.

“Masalah jenayah merupakan masalah kritikal melibatkan pengusaha tapak semaian bunga dan diharapkan dengan sesi dialog yang diadakan mereka mendapat pelbagai manfaat.

“Ia juga menunjukkan MCA amat mengambil berat terhadap keselamatan mereka,” katanya. - SINAR HARIAN (31 Januari 2010)

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Pengusaha tapak semaian risau jadi mangsa samun"

Catat Ulasan