Menarik
Artikel Terbaru

13 Februari 2010

Sekitar Pentauliahan Jentera Penerangan UMNO Subang


SG. BULOH, 12 Februari - Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro hari ini menyampaikan sijil pentauliahan kepada ahli-ahli Jentera Penerangan UMNO Bahagian Subang yang diterajui oleh Ketua Penerangan UMNO Bahagian Subang yang baru dilantik, Dato' Hj. Zein Isma Bin Hj. Ismail di Dewan Komuniti Kg. Melayu Sg. Buloh.

Selain menyampaikan dan memberikan penerangan berkenaan dasar-dasar parti dan kerajaan, jentera berkenaan akan turut turun ke setiap peringkat cawangan dan DUN untuk memberikan penjelasan dan kefahaman yang lebih jelas terhadap isu-isu semasa yang sering diputar belitkan oleh pihak tertentu.




baca lagi...

05 Februari 2010

Pengusaha tapak semaian risau jadi mangsa samun


BANDAR BARU SUNGAI BULOH - Ramai yang tidak menyedari pengusaha tapak semaian di sekitar kawasan ini sering menjadi mangsa samun dan rompak.

Rata-rata perompak menggunakan modus operandi seperti bertanyakan arah jalan, menyamar sebagai polis, berpura-pura mahu membeli bunga dan ada kes perompak berupura-pura menggunakan tandas.

Terdapat juga dalam kalangan perompak yang merompak pada siang hari menggunakan senjata seperti parang untuk menakutkan pengusaha dan pekerja mereka.

Sehingga kini kira-kira 20 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes rompakan sekitar kawasan Jalan Subang, kawasan Kusta Sungai Buloh dan Bukit Rahman Putra.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed bagaimana berkata, pihak polis sering menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana pengusaha yang menjadi mangsa rompakan enggan bekerjasama dengan polis termasuklah menyembunyikan kejadian tersebut.

“Kita melihat masalah jenayah melibatkan pengusaha tapak semaian bunga serius tetapi ramai di antara mereka tidak melaporkan kepada pihak polis dan kita memohon kerjasama daripada mereka melaporkan maklumat yang tepat untuk memudahkan proses penangkapan penjenayah yang terlibat.

“Saya difahamkan seramai 15 pengusaha tapak semaian bunga di Jalan Subang sering menjadi mangsa jenayah seperti disamun dan dirompak namun kebanyakan mereka tidak melaporkan kepada pihak polis yang menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan,” katanya.

Arjunaidi berkata demikian semasa menghadiri sesi dialog bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda MCA Bahagian Subang di Bilik Gerakan MCA Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Salah seorang pengusaha wanita tapak semaian bunga di Jalan Subang yang enggan dikenali berkata, pada tahun lalu dia telah dirompak sebanyak empat kali dan diperdayakan oleh penjenayah dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Penjenayah tersebut memaklumkan kepada pekerja saya bahawa dia adalah anggota polis dan memeriksa serta bertanyakan permit kepada mereka namun setelah ditunjuk, pekerja saya telah dirompak..

“Kes yang kedua pula ialah penjenayah itu menaiki teksi dan merompak hasil jualan menyebabkan kami cukup bimbang dengan keselamatan apabila berniaga di sini kerana penjenayah sangat licik dan menggunakan pelbagai cara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Polis Dearah Gombak, Suprintendan Rosli Hassan berkata, pihak polis sentiasa mengambil berat terhadap penduduk dengan mengadakan pelbagai usaha seperti konsep turun padang serta memperbanyakkan jumlah kereta peronda di beberapa zon.

“Pihak polis daerah Gombak turun padang untuk berjumpa dengan wakil persatuan penduduk, wakil masjid dan surau kerana pihak polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama penduduk bersama polis.

Mengulas mengenai kegiatan jenayah melibatkan penguasaha tapak semaian bunga, Rosli berkata kes tersebut melibatkan penjenayah yang sama kerana kebanyakan laporan yang diterima daripada mangsa menyatakan bentuk muka penjenayah adalah sama.

Katanya, pihak polis telah berjaya menahan empat penjenayah pada 16 Januari lalu dan kini disoal siasat dan hasil soal siasat yang dilakukan, pihak polis dimaklumkan mereka telah melakukan rompakan di 24 tempat dengan menggunakan senjata dan menunggang motosikal.

“Sekiranya menjadi mangsa jenayah, segera hubungi polis dan tampil ke hadapan serta membuat laporan kepada pihak polis untuk membantu polis memberkas penjenayah dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, kawasan Kusta Sungai Buloh adalah kawasan yang kerap berlaku kes jenayah dan pihak polis berharap kerjasama penguasaha tapak semaian bunga dengan mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama-sama polis.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama di antara satu sama lain untuk membasmi jenayah.

“Jenayah perlu diperangi dan aspek keselamatan perlu dititik beratkan supaya penduduk tidak menjadi mangsa jenayah dan sekiranya jenayah berlaku, segera laporkan kepada pihak polis.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada pengusaha tapak semaian bunga supaya mementingkan aspek kebersihan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk sekaligus menghindarkan demam serta penyakit lain,” katanya.

Bagi Ketua Wanita MCA Bahagian Subang, Ling Siow Moy berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk membantu hampir 150 pengusaha tapak semaian bunga supaya dapat mencari jalan penyelesaian sekiranya menjadi mangsa jenayah.

“Masalah jenayah merupakan masalah kritikal melibatkan pengusaha tapak semaian bunga dan diharapkan dengan sesi dialog yang diadakan mereka mendapat pelbagai manfaat.

“Ia juga menunjukkan MCA amat mengambil berat terhadap keselamatan mereka,” katanya. - SINAR HARIAN (31 Januari 2010)
baca lagi...

28 Januari 2010

Roboh dewan: Kelas al-Quran kena tempias


KOTA DAMANSARA – Tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan dewan orang ramai di Flat Gugusan Melati dekat sini, bukan hanya memberi kesan kepada golongan dewasa, namun tempiasnya juga turut dirasai puluhan kanak-kanak yang menjadi dewan itu tempat untuk mengaji al-Quran.

“Sekarang hendak mengaji Al-Quran dah susah,” demikian keluhan Amir Shah ,15, antara puluhan murid kelas mengaji yang kini terpaksa menerima hakikat kehilangan dewan tempat mereka menuntut ilmu selama ini .

Amir yang sudah tiga tahun belajar mengaji di dewan yang dirobohkan itu beranggapan dia kini seperti hilang semangat untuk belajar mengaji.

“Empat adik saya semuanya belajar mengaji di sini, jadi bila tidak ada dewan ini rasanya terpaksalah kami belajar mengaji di rumah ustazah, mungkin selepas ini tidak bolehlah kami belajar mengaji ramai-ramai seperti ini,”katanya.

Berkongsi kesedihan sama, Mohd Arshad Thaqif, 13, yang terkejut apabila diberitahu dewan itu sudah dirobohkan kelmarin.

“Saya hendak pergi mengaji seperti biasa, tiba-tiba tengok dewan sudah kena roboh, jadi saya baliklah ke rumah dengan perasan hampa.

“Saya sudah mengaji Al-Quran sampai juzuk 18, cita-cita saya hendak khatam Al-Quran tahun hadapan, mengaji di sini bagus kerana ustazah ajar kami sampai pandai, lagipun belajar di dewan ini luas dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Nurul Amelina Musanasirrulah, 13, tekad untuk terus belajar mengaji meskipun tanpa dewan .

“Saya akan terus belajar mengaji tetapi sedih bila lihat dewan ini sudah dirobohkan dan harap ada dewan baru dibina seperti ini selepas ini,” katanya.

Kelmarin dewan di bawak blok di Flat Gugusan Melati di sini yang sudah empat tahun dibina diarah roboh oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana dikatakan tidak mempunyai permit pembinaan MBPJ perlu bertimbang rasa

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor, ketika ditemui pada lawatan ke lokasi dewan itu, semalam, berkata MBPJ, pihak berwajib dan individu perlu berfikir secara waras dalam mencari jalan penyelesaian masalah itu.

“Ia adalah tindakan tidak wajar, memang ada notis diberikan sebelum ini, tetapi perkara ini sudah selesai beberapa bulan lepas,” katanya.

Menurut beliau, masalah bukan sahaja berlaku di sini malah beberapa tempat di bawah pihak berkuada tempatan (PBT) lain turut berlaku perebutan dewan.

“Perkara ini perlu jadi ikhtibar kepada semua, banyak perlu dilakukan untuk rakyat.

“Jika beginilah cara Kerajaan Negeri PR Selangor, saya yakin rakyat akan tentukannya pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Subang, Harrison Hassan berkata, amat mendukacitakan apabila Kerajaan Negeri tidak mahu menerima memorandum yang ingin diserahkan kepada penduduk.

“Apa yang berlaku amat mendukacitakan dan saya difahamkan Menteri Besar bercuti jadi memorandum itu boleh diserahkan kepada pembantu tetapi malangnya semua di situ tidak mahu menerima memorandum itu meskipun sudah menunggu dua jam,” katanya. - SINAR HARIAN (27 Januari 2010)
baca lagi...